Isnin, 31 Oktober 2011

Tema dan Persoalan Sajak Ruang Istimewa Masih Terbuka

TEMA

Sajak ' Ruang Istimewa Masih Terbuka '  karya Khadijah Hashim ini bertemakan atau mengisahkan tentang keagamaan. Seseorang itu hendaklah melengkapkan diri dengan akhlak, peribadi mulia, menjaga hubungan dengan ibu bapa dan jiran tetangga untuk membentuk kehidupan yang harmoni dengan harapan setiap perkara yang dilakukan oleh manusia akan mendapat keredaan dan keampunan Ilahi.

PERSOALAN

1. Menjaga dan menghormati hubungan sesama kita
    • Kita hendaklah sentiasa menjaga dan menghormati sesama manusia agar hubungan antara  keluarga dan jiran sentiasa diredai dan mendapat keampunan Ilahi. Hubungan antara kita hendaklah diikat dengan silaturahim yang kuat. Melalui hubungan ini setiap perkara yang buruk akan dapat dihindari dan ditangani dengan cara yang berhemah.
2. Berhati-hati apabila berkata-kata
    • Persoalan ini diketengahkan dalam sajak agar kita sentiasa berhati-hati apabila bertutur bicara, kerana sesetengah daripada tutur kata itu mungkin boleh mengguris hati seseorang. Kadang-kadang kata-kata lebih tajam daripada mata pedang.
3. Insaf terhadap kesalahan yang telah dilakukan

    • Kesilapan yang telah dilakukan menjadi pengajaran kepada kita. Namun begitu, ruang dan peluang untuk bertaubat sentiasa terbuka. Kita disarankan agar sentiasa bermohon dan berdoa agar diberi petunjuk oleh Allah untuk sentiasa berada dalam kebenaran.




     

Ruang Istimewa Masih Terbuka - Maksud Sajak

Maksud
Rangkap 1
Rumah merupakan tempat kita mengeratkan hubungan kasih sayang antara ahli keluarga iaitu antara ibu bapa dan anak-anak. Sehubungan itu juga, rumah merupakan tempat paling selesa untuk berehat dan beribadah.

Rangkap 2
Hubungan silaturahim antara keluarga dan jiran terjalin erat apabila saling menegur dan menjaga tutur kata supaya tidak menyakiti hati mana-mana pihak. Selain itu, sekiranya ada tersilap kata atau perbuatan, kita tanganinya dengan saling menegur dan ingat-mengingati.

Rangkap 3
Penyajak berharap agar rumah menjadi tempat beribadah supaya iman seseorang semakin bertambah dan seseorang itu dapat bertaubat serta tidak mudah digoda oleh syaitan agar semua perkara yang dilakukan mendapar keberkatan daripada Allah.

Duka Tanah - Chu E Liang

Duka Tanah
kepedihannya menyusur ke dalam
urat-uratnya
seakan di dalam paru-paru
sedang menyeret nanah luka
dan udara hanyir bersembilu tajam.

Menusuk bersama hujan meluncur
ke lembah
mengikis dan mencalar
kian deras pula kulit batu mengelupas
dan pulang ke tanah, mengheret sisa toksik
dengan deru angin gersang lebih keras
mencakar
dan meragut ikatan mesra.

Inilah duka
yang bertambah duka
berdiam pun duka, menggelongsor pun
duka
di dalam sekepal digenggami saraf-saraf
duka.

Dukamu tanah
lukaku juga, namun akan kupulang jua
ke dalam dukamu
kerana ini adalah asalku.

( Tanah Merah, Kelantan )

Jangan Kau Menangis, 2003
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ahad, 30 Oktober 2011

Lelah Tetapi Indah - A. Ghani Abdullah

Sangat melelahkan hidup ini
kerana sepak terajangnya terlalu keras
kuat pun berjasa dipandang sepi
amal bukan untuk dibalas.

Sangat melelahkan hidup ini
tetapi bersamamu sangat indah
tidak terbayar ekspedisi Everest tinggi
tidak sama kejayaan Appollo ke bulan berkhemah.

Sangat melelahkan hidup ini
segala gagalku perindu pendaki
akan kejayaanku puncak kasihku
aku terima dengan sederhana dan jujurku

Akan lelah hidup ini
bukan bererti akan kematianku
akan lelah hidup ini
lorong membolos sunyiku.

Engakau dengarkan suaraku
jangan menangis sangat bersama-samaku.

( Negeri Sembilan )

Lelaki dan Sebelah Pedang Tajam, 2003
Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.

Ruang Istimewa Masih Terbuka - Khadijah Hashim

Ruang ini pusaka ayah bonda
dipenuhi haruman kasih sayang
selesa untuk berehat dan beribadat
di sini rasa kemanusiaan lebih mewah
jujur muhasabah diri lagi rela
insaf akan pahala dan dosa.

Ruang ini diikat seutas tali silaturahim
terjalin antara keluarga juga jiran
ikhlas menegur ingat-mengingatkan
menjaga lidah juga maruah
tergelincir di jalan cuma terkehel kaki
tergelincir lidah menyakitkan hati
tangan kotor hanya terpalit lumpur
hati kotor berdengki takut takbur.

Ruang cantik ini masih terbuka
peluang bertaubat dan berdoa
mematahkan jarum muslihat syaitan
mengharap diri tetap di landasan benar
mohon anugerah Ilahi berkekalan
permata iman dalam kawalan-Nya.

Bicara Kasih Buat Ibu, 2007
Ikon Inter Active Sdn. Bhd.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Puisi ( Sajak ) Teks Sastera Anak Global

Pengenalan

Sajak merupakan karangan berangkap yang bebas bentuknya. Sajak juga merupakan sejenis pengucapan dengan perasaan yang terdapat di dalamnya mengandungi fikiran dan tanggapan. Pembaca mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk mentafsir sajak itu mengikut kefahamannya sendiri tetapi mestilah ada logik sasteranya. Hal ini sesuai dengan sifat bahasa sajak itu sendiri yang konotatif dan ambiguiti.